‘Saya akan terus berjuang tuntut keadilan’ – Zahid

0
1

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau tetap istiqamah dan konsisten untuk membersihkan namanya di mahkamah walaupun terpaksa melalui jalan berliku.

Ahmad Zahid berkata, pemimpin Umno akan terus melawan pendakwaan yang dikenakan terhadap mereka sejak era kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH).

“InsyaAllah saya akan terus istiqamah dan konsisten dalam perjuangan untuk mendapatkan keadilan.

“Pemimpin Umno akan terus melawan pendakwaan yang dikenakan terhadap kami sejak era kerajaan 22 bulan,” katanya menerusi Facebook.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau yakin setiap dugaan dan cabaran yang berlaku mempunyai hikmah di sebaliknya.

“Seperti dinyatakan dari awal saya akan berusaha membersihkan nama di mahkamah.

“Biarpun jalannya penuh berliku, tetapi yakini setiap dugaan dan cabaran pasti ada hikmah di sebaliknya.

“Ramai memahami apakah sebenarnya pendakwaan itu, tetapi jangan sesekali kita putus pengharapan. Tidak sesekali pernah tunduk, layu dan lemah,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, memerintahkan Ahmad Zahid untuk membela diri atas 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap tuduhan membabitkan Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid diberi tiga pilihan iaitu pertama, beliau boleh berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan; kedua, beliau boleh memberi kenyataan tidak bersumpah daripada tempat saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Sementara pilihan terakhir, Ahmad Zahid memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Ahmad Zahid memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here