Najib arah peguam saman Noor Amin, Adam Mukhriz

0
2

DATUK Seri Najib Razak mengarahkan peguamnya untuk memulakan proses saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad berhubung hantaran berbaur fitnah yang mengaitkan namanya dengan isu kesihatan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib berkata, beliau akan meminta peguamnya berbuat demikian terhadap Noor Amin dan juga pembantu Dr Mahathir, Adam Mukhriz sekiranya kedua-dua individu berkenaan tidak memadam posting dan membuat permohonan maaf secara terbuka mengenai perkara itu, hari ini.

“Setelah membaca komen-komen dalam posting saya dan posting Ahli Parlimen PH Kangar berhubung fitnah ‘Selamat jalan?’, saya telah arahkan peguam saya untuk mulakan proses saman fitnah terhadapnya dan seorang pembantu Atuk (Dr Mahathir)

“…. sekiranya mereka tak padam posting dan mohon maaf secara terbuka hari ini,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Jelas bekas Perdana Menteri itu, tindakan saman terhadap Adam dibuat kerana Noor Amin memberi alasan bahawa hantarannya itu dibuat selepas memetik ciapan Twitter Adam.

“Sukar untuk percaya bahawa pada masa Atuk (Dr Mahathir) sakit, diaorang masih mampu mainkan fitnah sebegini hanya sebab nak politik?.

“Diaorang tuduh saya, saya nafi. Lalu diorang suruh saya tunjuk activity log FB saya untuk buktikan saya tak post ‘Selamat jalan?’, saya tunjukkan.

“Tapi diaorang masih tak mahu minta maaf. Ada yang kata activity log boleh edit. Tak mahu percaya. Pelik, activity log boleh edit tapi screenshot tak boleh edit ke?,” katanya.

Sehubungan itu, Najib berkata, beliau menyaman kedua-dua individu berkenaan supaya peguamnya boleh menunjukkan ‘activity log original’ kepada mereka dalam mahkamah.

“Sebarang pampasan yang diterima akan saya beri sebagai bantuan kepada Rakyat,” katanya.

Semalam, Najib memberi amaran kepada Noor Amin agar memadam hantaran berbaur fitnah yang mengaitkan namanya berhubung isu kesihatan Dr Mahathir.

Saman itu susulan posting Noor Amin dengan tangkap layar FB Najib Razak membuat hantaran ‘Selamat jalan?’ berhubung kesihatan Dr Mahathir.

Najib memaklumkan beliau tidak menerima sebarang permohonan maaf daripada Noor Amin, walaupun hantaran yang dikatakan memfitnah namanya telah dipadam.

Kelmarin, Najib menafikan sekeras-kerasnya hantaran ‘Selamat Jalan?’, yang didakwa daripada Facebook miliknya.

Sebaliknya, jelas beliau, hantaran itu telah disunting dengan menggunakan laman sosialnya, ia adalah fitnah.

Sementara itu, Noor Amin dalam maklum balas mengenai perkara itu memaklumkan hantaran dibuatnya adalah berdasarkan ciapan di Twitter pegawai Dr Mahathir. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here