Umno anjur majlis bacaan Yassin, doa selamat untuk Ahmad Zahid

0
2

UMNO malam tadi mengadakan majlis bacaan Yasin dan doa Selamat di Surau Ar-Rahman di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).

Difahamkan, majlis bacaan Yassin itu dibuat sempena keputusan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi yang akan diketahui, hari ini.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Presiden Umno itu, berkata majlis itu bertujuan memohon diberi kemudahan dalam segala urusan dan dijauhkan daripada kesulitan.

“Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Surau Ar-Rahman WTC bersama sahabat-sahabat anjuran Kelab Bersetia Bersahabat dan juga kakitangan UMNO Ibu Pejabat.

“Memohon diberi kemudahan dalam segala urusan dan dijauhkan dari sebarang kesulitan serta diperkenankan segala hajat yang diinginkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang sudi menjayakan majlis berkenaan.

“Terima kasih kepada semua yang sudi hadir dari jauh dan dekat. Semoga doa kita diterima oleh Allah SWT untuk manfaat hidup di dunia dan akhirat,” katanya.

Keputusan sama ada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dibebaskan atau dipanggil untuk membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi akan diketahui, hari ini.

Ia akan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah pada jam 9 pagi.

Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pasukan pendakwaan, yang berpendapat wujud prima facie, bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan dipanggil untuk membela diri.

Ahmad Zahid itu akan diberi pilihan iaitu pertama, beliau boleh berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan dan kedua, beliau boleh memberi kenyataan tidak bersumpah daripada tempat saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Sementara pilihan terakhir, Ahmad Zahid memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Namun jika mahkamah mendapati tidak wujud prima facie dalam kes ini, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu akan dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here