Tiada sekatan pulang beraya tahun ini – PM

0
2

KERAJAAN memberi jaminan tidak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara, negeri, mahupun daerah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau turut memberikan jaminan, tiada lagi sekatan untuk rakyat pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri meskipun terdapat peningkatan daripada sudut jumlah kes Covid-19 sejak semalam.

Jaminan terbabit diberikan berikutan terdapat spekulasi mengatakan akan ada penutupan ekonomi dan rakyat tidak dapat pulang menyambut Aidilfitri tahun ini kerana penularan wabak berkenaan.

“Kita sudah tidak akan melaksanakan PKP seluruh negara, negeri mahupun daerah, melainkan kawasan-kawasan tertentu sahaja yang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

“Tiada lagi sekatan ekonomi akan dilaksanakan dan sektor-sektor ekonomi akan berjalan seperti biasa kecuali kawasan yang dikenakan PKPD,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan Bersama Anggota Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Bera hari ini.

Justeru Ismail Sabri mengingatkan rakyat agar tidak lagi merasa bimbang sekiranya mereka tidak dapat pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing, tahun ini.

“Jangan bimbang dengan spekulasi yang disebarkan kerana saya memberi jaminan, tiada lagi sekatan sama ada dari segi sektor ekonomi mahupun pergerakan pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya.

Beliau dalam pada itu melahirkan rasa bimbang dengan peningkatan jumlah kes Covid-19 semalam yang mencecah angka 4,115 kes.

“Kita tidak boleh rasa selesa dengan angka kes sekarang dan seharusnya perkara ini perlu dibendung.

“Kita tidak mahu negara kita mencapaikan angka seperti negara Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Perancis. Perlu turun dari segi angka supaya kita dapat isytiharkan endemik apabila jumlah jangkitan di bawah 1,000,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here