PRN Johor: Pilihan raya peluang rakyat tentukan masa depan – Shamsul Anuar

0
2

PILIHAN Raya yang diadakan tidak akan mengganggu sistem penyampaian kerajaan, tegas Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Menurutnya, ia terbukti dalam beberapa siri pilihan raya yang telah diadakan di Malaysia sebelum ini yang menyaksikan jentera kerajaan berjalan dan melaksanakan tanggungjawabnya sebagaimana biasa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata, segala kegiatan parti juga tidak terhenti bahkan dipertingkatkan lagi dan bermakna urusan rakyat tidak akan terganggu.

“Ada pihak yang berkata pilihan raya membazirkan wang rakyat. Namun realitinya pilihan raya tetap perlu diadakan. Maknanya peruntukan pilihan raya tetap diperlukan bila pun pilihan raya diadakan.

“Kalau ada pula yang memberikan alasan Covid 19, pilihan raya Melaka dan Sarawak membuktikan jika prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi keadaan boleh dikawal .

“Malah sudah banyak negara laksana pilihan raya di waktu Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, terdapat juga pihak yang mengatakan rakyat bosan kerana terlalu banyak berpolitik dan rakyat inginkan pembelaan.

“Ini betul. Kita perlu tumpukan usaha membela rakyat dan kurangkan politik.

“Maka, kerana itulah pilihan raya mesti diadakan dan rakyat mesti diberikan peluang menentukan kerajaan yang stabil supaya karenah karenah politik dihentikan dan kerajaan boleh fokus pada usaha membangunkan negara serta rakyat.

“Malah dengan situasi ketidakstabilan sesebuah kerajaan inilah yang merugikan rakyat dan memperlihatkan kewajaran diadakan pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan yang stabil boleh dibentuk dan fokus membangunkan negara atau negeri serta rakyat boleh diutamakan selepas pilihan raya dan paling utama rakyat diberikan hak menentukan masa depan mereka.

Shamsul Anuar berkata, hakikatnya bila kerajaan tidak stabil, ia dengan sendirinya menimbulkan ketidakyakinan pelbagai pihak kepada kerajaan dan keadaan itu mengganggu perkembangan ekonomi terutamanya termasuk perkara lain.

Beliau berkata, pilihan raya merupakan peluang terbaik bagi rakyat menentukan masa depan mereka.

“Diharap rakyat Johor akan menggunakan kuasa mereka dengan cara yang baik, demi masa depan.

“Kerana itu pilihlah BN kerana BN mahu menawarkan yang terbaik kepada rakyat Johor dan membentuk kerajaan yang stabil melalui PRN Johor. Semuanya demi rakyat Johor,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here