PAS Johor berharap dapat bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, semalam.
Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Pengerusi Umno Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam masa terdekat.
Menurutnya, antara perkara utama yang akan dibincangkan adalah usaha menjayakan wadah perjuangan ummah antara Umno dan Pas di bawah payung MN.
“Buat masa ini, kita sedang berusaha ke arah itu (penyatuan MN). Kita sudah berhubung dengan pihak Umno Johor dan telah mendapat respon untuk berjumpa dengan Menteri Besar.
“Insya-Allah, satu perbincangan akan dilakukan dalam suasana yang positif dalam masa terdekat hasil hubungan baik antara kedua-dua parti.
“Pas Pusat juga telah memberikan lampu hijau kepada Pas Johor supaya menjayakan usaha penyatuan MN itu, harapnya kita dapat mencapai persefahaman bagi tujuan tersebut,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Menurut Abdullah, Pas Johor sudah bersedia dengan kemungkinan PRN di negeri ini akan dilakukan dalam masa terdekat selepas kerajaan negeri ketika ini hanya memperoleh majoriti hanya satu kerusi sahaja.
Beliau memberi jaminan bahawa Pas Johor akan bertanding pada PRN di negeri ini walaupun masih belum memuktamadkan jumlah kerusi yang akan ditandingi. – Malaysiapost

