PERSEPSI segelintir masyarakat yang beranggapan orang politik sebagai gila kuasa dengan mengadakan pilihan raya, disifatkan hanya sebagai pandangan rakyat.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, cepat atau lambat pilihan raya tetap akan diadakan.
“Kita hidup dalam lingkungan demokrasi tentunya setiap orang ada pandangan tapi apa yang paling mustahak ialah pilihan raya bagi sesebuah negeri atau di peringkat nasional akan tetap diadakan sama ada sekarang ataupun kemudian.
“Apabila tidak ada kestabilan dalam sesebuah negeri ataupun di peringkat kebangsaan akhirnya proses pilihan raya adalah satu proses untuk kita mengembalikan semula mandat itu kepada rakyat untuk memilih.
“Dalam konteks Johor, kita sedia maklum ia disebabkan oleh keadaan yang rapuh dan pihak kepimpinan negeri sudah membuat keputusan mereka dan kita akan melalui proses ini (pilihan raya),” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan perlawanan pembukaan Piala Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir Tahun 2022 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), malam tadi.
Sementara itu, menurutnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah peluang yang perlu digarap parti politik dalam mendekati pengundi baharu membabitkan pengundi berusia 18 tahun dan pengundi pendaftaran automatik..
Beliau berkata, BN akan melakukan persediaan sebaik mungkin membabitkan semua aspek bagi menghadapi pilihan raya termasuk memahami pemikiran dan kehendak golongan muda.
“Ini peluang yang perlu kita garap, kita jangan menganggap cabaran sebagai masalah. Dalam setiap pilihan raya kita perlu membuat persiapan termasuk bagaimana mahu membawa pengundi keluar untuk mengundi BN.
“Jadi tentunya ada proses mengajak mereka dan menceritakan serta menyampaikan mengenai kenapa BN perlu dipilih kali ini,” katanya.
Menurutnya, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan berada di Johor bagi mempengerusikan mesyuarat dan pertemuan bagi memperinci persediaan menghadapi PRN di negeri itu.
Pakatan Harapan (PH) Johor hari ini dalam kenyataan bersama menyatakan tetap berpendirian sekarang bukan masa sesuai untuk mengadakan PRN.
Kepimpinan pembangkang itu menegaskan ia adalah pilihan raya yang dipaksakan dan mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat. – Malaysiapost

