PRN Johor: Warisan pertimbang bertanding di Johor

0
2

PARTI Warisan Sabah (Warisan) meneliti sama ada akan membuat kemunculan pertama bertanding di Semenanjung menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, semalam.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata masih awal untuk menentukan perkara itu memandangkan DUN Johor baru saja dibubarkan dan kini menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentukan tarikh.

Menurutnya, perkara itu bagaimanapun akan diteliti dan sudah dimaklumkan kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) selaku rakan politik Warisan di Semenanjung.

“Kita akan lihat dulu kerana kita baru terima maklumat pembubaran DUN Johor, kita akan teliti secara mendalam.

“Saya juga sudah berhubung dengan Saddiq (Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) dan memaklumkan perlu ada persediaan kalau kita putuskan untuk bertanding,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Makan Malam Warisan, di Kota Kinabalu, malam tadi.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna, berkata Warisan mempunyai penyokongnya tersendiri terutama di beberapa kawasan di Johor seperti di Pasir Gudang yang ada ramai penduduk dari Sabah dan Sarawak, begitu juga di Johor Bahru.

“Namun kita tidak hanya bergantung dengan rakyat dari Sabah dan Sarawak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here