PRN Johor: PH dakwa Umno ambil kesempatan dalam kesempitan

0
1

PAKATAN Harapan (PH) Johor tetap berpendirian sekarang bukan masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya dan melihat tindakan mencetuskan Pilihan Raya Negeri (PRN) oleh Umno adalah bagi mengambil kesempatan dalam kesempitan rakyat.

Dalam satu kenyataan bersama, kepimpinan pembangkang itu berkata, PRN tidak sesuai diadakan ketika virus Covid-19, Omicron, bencana banjir, isu ekonomi dan sebagainya yang dihadapi rakyat.

“PH Johor juga melihat tindakan mencetuskan PRN oleh UMNO sebagai helah untuk ambil kesempatan ketika ramai rakyat di negeri ini yang berhadapan kesukaran untuk pulang mengundi.

“Kerana itulah PH Johor sebagai blok pembangkang terbesar di Dewan Negeri telah memberikan kerjasama agar pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dibuat bersama oleh Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Mereka mempersoalkan tindakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang penggal pentadbirannya berbaki kira-kira setahun sahaja lagi.

“Mengapa tidak boleh tunggu sehingga keadaan kesihatan dan ekonomi lebih stabil?

“Kami juga cukup yakin inilah kerisauan, hasrat serta nurani rakyat biasa pada ketika ini. Bahkan pelaksanaan pilihan raya negeri yang bakal menelan belanja sekurang-kurangnya RM150 juta adalah suatu pembaziran wang rakyat.

“Malangnya, Umno tidak empati kepada rakyat yang sedang berada dalam keadaan sukar,” katanya.

Kepimpinan pembangkang itu menegaskan ia adalah pilihan raya yang dipaksakan dan mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat.

“Apa pun, PH Johor akan mengambil segala langkah yang perlu untuk mempersiapkan diri berhadapan situasi ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here