PRN Johor: Gerakan ‘kluster mahkamah’ terdesak – Wan Saiful

0
3

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berpendapat bahawa tiada keperluan untuk diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun sebaliknya dilihat seolah-olah usaha gerakan ‘kluster mahkamah’ yang terdesak.

Beliau berkata, waktu sekarang bukan waktu yang terbaik untuk mengadakan pilihan raya, tetapi Umno Johor kelihatan rakus bermain politik demi kuasa, walaupun rakyat masih bergelumang dengan pandemik Covid-19 dan kesan bencana banjir.

“Politik Johor sedang stabil dan tidak bergolak. Tidak ada langsung sebab untuk diadakan pilihan raya, melainkan nafsu beberapa orang dalam Umno.

“Jadi, saya berpandangan ini adalah usaha kluster mahkamah dan para pendokong mereka untuk terus mengalih perhatian daripada kes mahkamah yang sedang mereka hadapi, dan pada masa yang sama memperkukuh kedudukan kluster mahkamah itu sendiri.

“Mungkin kluster mahkamah semakin terdesak dan merasakan bahawa satu-satunya cara untuk lari dari penjara ialah dengan merobek pemisahan kuasa.

“Untuk merobek pemisahan kuasa yang dibina bersungguh-sungguh oleh Tan Sri Muhyiddin (Yassin), mereka mesti cuba membolot kuasa dahulu,” katanya menerusi Facebook.

Tambahnya, selepas Johor, tidak hairan sekiranya negeri lain turut diadakan PRN.

“Begitulah realiti orang terdesak yang rakus kuasa dan takut penjara.

“Bagaimanapun, kita mesti pertahankan integriti sistem pentadbiran dan pemisahan antara institusi kehakiman dan badan eksekutif. Semoga rakyat membuat penilaian yang sebaiknya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here