Rahmawati Nurdin dan Goh Jun Hui
LEBIH 200 orang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyertai program Bengkel Asas Penulisan Berita yang dianjurkan oleh Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, UPM baru-baru ini.

Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM, Prof Madya Dr Nur Izura Udzir, berkata bengkel itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar berkenaan asas penulisan dan penerbitan berita.
“Bengkel ini dapat memberi latihan asas untuk kemahiran menulis berita kerana penulisan berita merupakan cabang penulisan yang berbeza dengan penulisan lain dan tidak ramai yang mempunyai kemahiran menulis berita dengan baik.
“Saya berharap agar bengkel ini akan memberi manfaat kepada para peserta supaya para peserta dapat mengaplikasikan teknik-teknik penulisan berita,” katanya.

Bengkel penulisan berita itu yang berlangsung selama tiga jam disampaikan oleh Rahmawati Nurdin yang merupakan bekas wartawan penyiaran dan kini bertugas sebagai fasilitator bagi kursus Pembangunan Kesukarelawanan, UPM.
Pada masa sama, bengkel itu disambut baik oleh para pelajar yang menyertainya dan dilihat sebagai suatu program yang sangat bermanfaat serta dapat menjadi nilai tambah kepada mereka.
Salah seorang pelajar Doktor Perubatan UPM, Sharmaine Nabila Mohd Roziman, berkata pengalaman menyertai bengkel itu selain dapat mengasah minda ia juga sebagai peluang meningkatkan kemahiran diri dari segi penulisan berita.
“Kefahaman yang lebih mendalam tentang struktur, komponen utama pemberitaan dan banyak lagi dapat melatih peserta untuk menulis berita dengan menggunakan Bahasa dan format yang betul,” ujarnya.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan semasa bengkel tersebut berlangsung antaranya ialah penulisan tajuk berita, penulisan kapsyen gambar menggunakan platform padlet dan banyak lagi.
Terdahulu, turut berlangsung Hari Kesukarelawanan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM dengan pelajar bergotong-royong membersihkan kawasan UPM serta membantu mangsa banjir di Bukit Changgang dan Hulu Langat. – Malaysiapost

