PENDAKWAH bebas, Ustaz Ebit Lew kagum dengan kegigihan dan usaha seorang ‘rider’ Foodpanda wanita, bekerja sambil mendukung anak kecilnya yang mengalami cacat penglihatan untuk mencari rezeki demi meneruskan kehidupan.
Ebit berkata, wanita terbabit sentiasa membawa anaknya yang dikategori orang kurang upaya (OKU) itu ketika menghantar atau mengambil pesanan.
Katanya, wanita itu tidak boleh meninggalkan anaknya di rumah bersama orang lain kerana dia terlalu rapat dengannya.

“Menangis je kakak ni. Kuat dan tabah mencari rezeki buat diri dan anaknya yang OKU cacat penglihatan. Pergi kemana-mana ambil order dan hantar dengan anak kecilnya.
“Anaknya aktif dan manja dengan maknya. Rapat berdua. Jadi kakak ni tak boleh tinggal anaknya. Kena bawa bekerja kesana sini,” katanya menerusi Facebook.
Sehubungan itu, Ebit berkata, beliau memberi bantuan kepada wanita itu dengan menyewakan sebuah rumah, membelikan pakaian raya dan barang keperluan termasuklah peti ais, mesin basuh dan periuk nasi elektrik serta almari dan tilam.
“Katanya dah lama ingin minta jumpa saya ingin minta nasihat dan doa. Kakak ni sentiasa bawa anaknya untuk kerja hantar makanan. Kakak ni mohon rumah PPR belum rezeki katanya. Motor pun masih berhutang.
“Syukur pada Allah. Kami dapat carikan rumah buat akak ni. Tak perlu bayar kerana kami akan bayarkan. Belikan baju raya dan belikan barang keperluan rumah peti ais mesin basuh dan rice cooker.
“Begitu juga dapat hadiahkan almari dan tilam. Menangis syukur Allah beri rezeki begini padanya. Semoga Allah bantu kakak ini,” katanya.
Terdahulu tular mengenai ibu tunggal bernama Azimah Abd Rahim, 37, yang tinggal di Kampung Haji Abdullah Hukum, Kuala Lumpur, dalam membesarkan anak perempuan, Nur Ainul Zahirah Rashidi, 5, dengan masalah penglihatan kekal sejak lahir.
Kisahnya tular apabila seorang pengguna TikTok berkongsi video memperlihatkan dia membawa bersama anaknya yang berusia lima tahun ketika bekerja sebagai penghantar makanan.- Malaysiapost

