PRN Johor: Hasni dapat perkenan mengadap Sultan Johor petang ini

0
2

MENTERI Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dilaporkan telah mendapat perkenan untuk menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim petang ini dipercayai bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Laporan Astro Awani, yang memetik sumber kerajaan negeri, memaklumkan majlis mengadap itu akan dilakukan di Istana Bukit Serene.

Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Johor, terdahulu turut mempengerusikan mesyuarat khas bersama 26 Ketua Bahagian Umno di Bangunan Umno Johor, Jalan Yahya Awal, Johor Bahru.

Beliau turut akan memperincikan mengenai perjalanan Pilihan Raya Negeri Johor yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

Difahamkan dalam mesyuarat khas yang diadakan itu, kesemua Ketua Bahagian yang berkenaan akan menyampaikan senarai calon pilihan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri di bahagian masing-masing, serta kemas kini persiapan jentera.

Selain itu dijangka mesyuarat akan turut menyentuh mengenai persiapan manifesto Barisan Nasional (BN).

Selepas mesyuarat itu selesai, Hasni dijangka menghadap Sultan Johor, untuk mendapat perkenan, sebelum kembali ke Bangunan Johor untuk mengadakan sidang media khas.

Antara yang kelihatan hadir di mesyuarat itu ialah Naib Presiden Umno yang juga bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin,  Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dan Ketua UMNO Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Hasni juga dijangka akan mempengerusikan Majlis Mesyuarat Johor yang terakhir hari ini sebelum DUN dibubarkan.

Desas-desus mengenai PRN semakin hebat susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas Datuk Osman Sapian pada Disember lalu, menjadikan kerajaan pimpinan BN hanya memiliki satu majoriti satu kerusi dalam DUN Johor.

Pada masa ini, DUN Johor diterajui BN dengan 28 kerusi iaitu Umno (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan Pas (satu) manakala Pakatan Harapan (PH) memiliki 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here