RAMAI pihak yang dikatakan ‘tidak puas hati’ terhadap perhimpunan yang menyebabkan kesesakan teruk di beberapa jalan raya utama pusat bandar Kuala Lumpur hari ini.
Antara yang lantang membidas kumpulan itu adalah pengacara kontroversi, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA yang berang dengan situasi yanbg terpaksa ditempuhi pengguna jalan raya di ibu kota.
Dalam video terbaharu menerusi laman TikTok, Azwan memaki pihak yang mengadakan perarakan sehingga pihak berkuasa terpaksa menutup beberapa laluan bagi tujuan keselamatan.
“Gara-gara kecoh dan tangkap Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), sampai sesak jalan ke arah Bangsar.
“Aku bukan penyokong Azam Baki, tapi otak letak di mana? Kerana orang macam kaulah (peserta perarakan). Jalan ditutup sehingga menyusahkan orang lain,” ujarnya dalam video itu.
Dalam pada itu, kerana terlalu marah Azwan melabel peserta yang turut sama dalam perarakan itu sebagai ‘lembu bodoh’ kerana tidak berfikir tindakan tersebut telah menyusahkan pengguna jalan raya.
“Masing-masing ada otak. Fikirlah! Daripada nak berarak macam ‘lembu bodoh’. Kau viralkan video ini. Menyusahkan orang lain.
“Nak tangkap Azam Baki, tangkaplah! Tapi jangan menyusahkan orang lain,” katanya.
Pengacara program Lagu Cinta Kita itu juga berkata, sepatutnya mereka menggunakan saluran yang betul untuk bersuara, dan bukannya berarak dalam kumpulan yang ramai seperti yang berlaku hari ini.
“Sebab nak berhimpun, orang lain susah. Gunakanlah saluran undang-undang yang betul,” ujarnya.
Hari ini, berlangsung perhimpunan #TangkapAzamBaki di stesen LRT Bangsar yang dikatakan disertai lebih 300 orang.
Beberapa penunjuk perasaan dilihat membawa sepanduk bertulis ‘lawan’ dan ‘lawan korupsi’, Sementara yang lain turut kelihatan membawa topi keledar. – Malaysiapost

