MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin kemelut krisis antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan Lee Zii Jia dapat diselesaikan dengan baik jika kepentingan negara diutamakan.
Beliau berkata, peminat sukan Badminton tanah air pastinya tidak menggemari cerita di luar gelanggang lebih sensasi daripada aksi hebat dalam gelanggang ketika ini.
“Jika kepentingan negara diutamakan, sudah tentu ada jalan penyelesaiannya.
“Pada hemat saya, isu antara BAM dan Lee Zii Jia bukanlah perkara yang rakyat dan para pendokong serta penyokong sukan badminton inginkan ketika ini,” katanya di Facebook, hari ini.
Justeru, Ahmad Faizal berharap BAM dan pemain perseorangan utama negara itu dapat mencari jalan penyelesaian terbaik yang menguntungkan negara.
“BAM dan Lee Zii Jia mesti mencuba bersungguh-sungguh mencari jalan penyelesaian untuk isu ini. Saya akan bertemu dengan kedua belah pihak dalam masa terdekat.
“Kita tidak seharusnya mempertaruhkan masa depan pemain dan kedudukan Malaysia di pentas badminton antarabangsa,” katanya.
Petang tadi, BAM memutuskan untuk tidak mendaftar Zii Jia dalam mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun.
Keputusan dibuat susulan tindakan Zii Jia yang mahu meninggalkan BAM minggu lalu bagi meneruskan hasratnya bergelar pemain badminton profesional.
Tindakan BAM itu pastinya menggelapkan masa depan Zii Jia yang dilihat pertaruhan terbaik negara memperolehi pingat pada temasya Sukan Olimpik 2024 nanti. -Malaysiapost

