BERIKUTAN keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk tidak mendaftarkan namanya dalam mana-mana kejohanan selama dua tahun, Lee Zii Jia telah menukar gambar profil di Facebook miliknya dengan warna hitam.
Tindakan menukar foto profil itu nyata mengundang perhatian netizen yang rata-rata bersimpati dengan nasib yang menimpa pemain perseorangan utama negara itu.
Setakat 30 minit ini, lebih 16,000 tanda emoji diraih pada gambar itu, di samping lebih 2,300 komen netizen membanjiri ruangan komen.

Tinjauan di ruangan komen, rata-rata netizen mengecam tindakan BAM itu yang disifatkan seperti mahu membunuh karier pemain kelahiran Kedah itu.
Namun, Zii Jia, 24, juga dibanjiri dengan kata-kata semangat daripada netizen yang tetap mendoakan pemain ranking ketujuh dunia itu cekal menghadapi situasi yang tidak berpihak kepadanya ketika ini.
“Stay strong and believe yourself! Kami rakyat Malaysia menyokong anda dari belakang.
“Well always stay behind you.. STAY STRONG BRO!!
“Stay Strong & Keep Strong LJZ we behind you and support you in yr karear Badminton never Give up “God Bless you,” antara komen netizen.
Terdahulu, Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos dilapor berkata, BAM mengambil tindakan itu susulan keputusan Zii Jia meninggalkan badan induk itu, minggu lalu.
“Selepas mempertimbangkan semua faktor, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 18 Januari,” katanya.
Tindakan BAM itu pastinya tamparan hebat buat Zii Jia dalam usaha mengumpul mata untuk melayakkan dirinya ke Sukan Olimpik 2024 kerana setiap pemain yang mahu menyertai kejohanan di bawah kelolaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) perlu mendapatkan kelulusan BAM. – Malaysiapost

