Kerajaan bincang cadangan tetapkan had laju 30 km/j 

0
2

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) sedang meneliti secara lebih mendalam, berhubung cadangan melaksanakan had laju 30 kilometer sejam (km/j) dalam zon terpilih sekitar ibu negara dan 50 km/j bagi zon lain.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pihaknya perlu memanggil beberapa pihak untuk mengadakan perbincangan kerana perkara itu yang membabitkan pemegang amanah.

“Saya sebenarnya ada meneliti cadangan berkenaan dan perlu memanggil semua untuk mengadakan perbincangan.

“Kita tahu bahawa ada pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga usulkan agar kita dapat turunkan had laju.

“Tetapi kita lihat di Malaysia ini punca kemalangan sebenarnya mempunyai pelbagai faktor dan bukan sahaja berdasarkan kepada kelajuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kutipan Dana MCA bagi pembinaan Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Kampus UTAR, hari ini.

Bagaimanapun, Ka Siong berkata, pihaknya akan mengimbangi semua faktor dan melihat dari segi semua sudut bagi mencari jalan yang terbaik.

“Kelajuan yang dikatakan daripada 50 km kepada 30 kilometer itu sudah pastinya mendapat reaksi yang bercampur.

“Itu satu cadangan yang dihantar dan kita akan tengok macam mana,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bekerjasama bagi melaksanakan had laju 30 kilometer sejam (km/j) di zon terpilih di ibu negara dan 50 km/j bagi zon lain.

Mei lalu, Miros mencadangkan had laju had laju 30 km/j bagi kawasan perumahan, bandar dan kampung sebagai sebahagian daripada perancangan keselamatan jalan raya kebangsaan untuk tahun 2021 hingga 2030.

Cadangan tersebut adalah sebahagian daripada kempen dijalankan di bawah Minggu Keselamatan Jalan Raya Global PBB ke-6 (UNGRSW) yang menyasarkan pelaksanaan had 30 km/j di kawasan yang menyaksikan pejalan kaki bercampur dengan trafik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here