RCI Tabung Haji: ‘Siasat, jangan biarkan ada satu pun yang tertinggal’ – Wan Saiful

0
2

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yakin penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mampu melaksanakan siasatan menyeluruh berkenaan semua isu berbangkit berkaitan agensi berkenaan.

Wan Saiful berkata, beliau juga yakin anggota Suruhanjaya itu akan melaksanakan siasatan sepenuhnya ‘without fear or favour’ tanpa ada sebarang isu yang tertinggal.

“Tabung Haji merupakan satu agensi penting yang amat dekat dengan hati rakyat yang beragama Islam.

“Keutuhan dan keyakinan rakyat terhadap TH mesti dikekalkan. Maka penubuhan Suruhanjaya ini adalah satu langkah yang dinanti-nanti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, umum mengetahui terdapat begitu banyak tuduhan yang dilemparkan berkaitan TH, dalam hal-hal berkaitan integriti dan tadbir urus agensi tersebut.

Katanya, ia termasuk semasa Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri selain ada juga tuduhan bahawa terdapat campur tangan yang tidak sepatutnya semasa DAP menguasai Kementerian Kewangan.

“Saya mengenali secara peribadi beberapa orang ahli yang telah dilantik dan saya yakin mereka mempunyai ketokohan dan kredibiliti untuk melaksanakan amanah berat yang dipikul,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif, dilantik sebagai Pengerusi RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Tabung Haji antara 2014 hingga 2020.

Penubuhan RCI itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kelmarin, dengan dibarisi enam ahli.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata selain Mohamed Raus, lima lagi ahli RCI itu ialah bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman, dan Pengasas RHB Group, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

Seterusnya, bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid; Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishams) yang juga Ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Selain itu, Prof Dr Asmadi Mohamed Naim; serta Akauntan Bertauliah yang juga Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Norsyahrin Hamidon. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here