Kim Pan Gon jurulatih baharu Harimau Malaya

0
1

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan Kim Pan Gon dari Korea Selatan sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tan Cheng Hoe.

Pan Gon ketika ini adalah pengarah pasukan kebangsaan Korea Selatan sejak 2018 yang mana beliau sebelum itu merupakan ketua jurulatih Hong Kong dari 2009 hingga 2010 dan 2012-2017.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata pemilihan Pan Gon dibuat selepas penilaian menyeluruh ke atas calon-calon dari pelbagai negara termasuk dari Jepun, negara-negara Eropah dan Amerika Latin serta dalam negara.

“FAM berasakan bahawa Pan Gon merupakan calon terbaik untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya berdasarkan pengalaman luas beliau sebagai jurulatih di peringkat kelab dan pasukan kebangsaan, selain berada dalam sistem pasukan Korea Selatan dalam tempoh empat tahun terakhir ini.

“Kemampuan Pan Gon yang fasih berbahasa Inggeris memudahkan beliau untuk berkomunikasi dengan staf kejurulatihan, pegawai, pemain dan media, selain beliau juga memiliki pengetahuan serta cukup memahami budaya bola sepak di Asia dan juga Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamidin berkata, Pan Gon dijangka tiba di Malaysia pada awal Februari 2022 bersama empat pembantunya iaitu penolong jurulatih, jurulatih penjaga gol, jurulatih kecergasan dan juruanalisis.

“Beliau dan barisan kejurulatihannya selepas itu akan mula memantau pemain-pemain sebaik saingan Liga Malaysia bermula bagi panggilan pertama kem latihan pusat pada Mac 2022 sebagai persiapan awal menjelang Kelayakan Piala Asia 2023, Jun depan,” katanya.

Pan Gon dan barisan kejurulatihannya diberikan kontrak selama dua tahun sehingga penghujung 2023 dengan lanjutan dua tahun lagi sekiranya mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pengurusan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here