i-Citra : Akta KWSP benar pengeluaran bagi kelangsungan hidup – Asyraf Wajdi

0
2

AKTA Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) di bawah Seksyen 54 membenarkan pengeluaran dibuat bagi memenuhi keperluan keberterusan hidup, apatah lagi yang terkesan pandemik, kata Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau turut mempersoalkan tanggapan yang berharap KWSP satu-satunya cara untuk menjamin keselamatan hidup di hari tua.

“Apakah jaminan untuk hidup hari tua jika rakyat hari ini pun amat terdesak untuk penuhi keperluan hidup diri dan keluarga?

“Rakyat hakikatnya rata-rata menuntut simpanan mereka sendiri hari ini bukan saja-saja,” katanya dalam hantaran Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, semenjak pandemik melanda ramai yang kehilangan punca pendapatan sehingga terpaksa keluar dari rumah berikutan tidak dapat melangsaikan sewa, dan ada yang kereta serta motorsikal ditarik kerana gagal membayar ansuran bulanan.

Katanya, sedangkan golongan itu tergolong dikalangan 6.83 juta pencarum yang mempunyai wang simpanan KWSP melebihi RM10,000 bahkan beratus ribu.

Sehubungan itu, beliau berkata semua pihak harus yakin dengan konsep rezeki tidak boleh diukur atas nilaian banyak atau sikit tabungan KWSP.

“Pun begitu, ikhtiar juga tidak pernah dinafikan. Malah pelbagai justifikasi dan hujah ekonomi juga telah banyak kali saya berikan. Bahkan bagaimana cara untuk menampung kembali simpanan peribadi dan kantong KWSP secara keseluruhan juga telah beberapa kali dihujahkan.

“Lebih utama mengelakkan mudarat besar yang dihadapi rakyat hari ini dengan mengambil mudarat kecil iaitu benarkan pengeluaran kali terakhir wang simpanan hari tua demi kelangsungan hidup ketika ini,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here