Bantu Lee Peng, jangan hina dan kecam

0
2

AHLI Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong memborong kesemua produk kraftangan yang dijual atlet paralimpik negara, Koh Lee Peng dalam usaha membantu wira negara itu.

Beliau turut membantu bekas atlet renang itu membuka akaun dan kedai atas talian bagi membolehkannya memperluaskan perniagaan produk kraftangannya.

“Tadi waktu rehat tengah hari di Parlimen, saya pergi cari atlet paralimpik negara Koh Lee Peng yang sedang gigih berniaga di bawah terik matahari di Jalan Bukit Bintang.

“Saya tahu Lee Peng sebenarnya ingin tumpukan tenaga buat bisnes sendiri. Ini bukan perkara yang memalukan. Dia nak cari rezeki halal.

“Dulu kami pernah tawarkan pekerjaan lain, tapi dia nekad nak buat bisnes. Saya rasa kita patut hormat keputusannya. Lee Peng wira negara nak buat bisnes kita jangan nak hina atau kecam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Steven Sim berkata, jika benar masyarakat ingin membantu, maka bantulah menyokong perniagaan yang diusahakan bekas atlet berkenaan.

“Hari ini, saya borong semua produk kraftangan yang dia jual. Ada tisu cover, ada bag tisu, ada pendan, ada anting-anting.

“Semua hasil tangan orang kurang upaya (OKU), semuanya cantik-cantik. Saya beli semua, harga keseluruhan RM17,115.00 tapi dia beri diskaun, kira saya RM17,000, gaji sebulan saya.

“Ini boleh bantu Lee Peng pusing sikit modal untuk perniagaannya,” katanya.

Beliau berkata, apa yang dilakukannya sedikit sebanyak diharap dapat membantu atlet yang telah mengharumkan nama negara dan memenangi banyak pingat itu.

“Anda kalau betul-betul nak bantu atlet negara kita ini, tak payah la kecam-kecam atau hina bisnes dia. Sebaliknya, jom kita promote dan beli produk Kedai Koh Lee Peng kat Shopee,” katanya.

Kisah Lee Peng menjadi bualan apabila seorang pengguna laman sosial Twitter memuatnaik rentetan pertemuannya dengan pemenang tujuh pingat emas dan tiga perak di Sukan Para ASEAN dari 2001 hingga 2005 itu di Bukit Bintang, baru-baru ini.

Susulan itu, ramai mempersoalkan peranan badan berwajib bagi membantu Lee Peng namun hakikatnya, bekas atlet dari Pulau Pinang itu mahu berdikari.

Lee Peng yang cacat kedua-dua kaki dan bergerak menggunakan kerusi roda demi mencari rezeki dengan menjula barangan secara kecil-kecilan di sekitar Bukit Bintang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here