Miliki skuad besar, JDT sedia beraksi 50 perlawanan untuk musim ini

0
1

KELAB Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan dua pemain baharu kelahiran Sepanyol yang ditandatangani bagi mengharungi cabaran musim 2022.

Pemain berkenaan adalah Bienvenido Maranon dan Carli de Murga yang juga pemain kebangsaan Filipina.

Maranon yang berusia 36 tahun bermain di posisi menyerang, manakala De Murga, berusia 34 tahun bermain di posisi pertahanan dan tengah.

Pengumuman kedua-dua pemain terbabit dibuat dalam satu hantaran di laman Facebook Johor Southern Tigers, hari ini.

Sementara itu dalam satu lagi hantaran, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards memaklumkan Harimau Selatan memiliki skuad yang besar untuk kempen 2022.

“Ini kerana Harimau Selatan akan bersaing dalam empat kejohanan dengan kembalinya Piala FA dan kelayakan ke Liga Juara-Juara AFC, selain Liga Super Malaysia dan Piala Malaysia.

“Harimau Selatan berpotensi bermain 50 perlawanan pada musim 2022 bergantung kepada kemaraan ke pusingan terakhir dalam pertandingan Piala.

“Justeru, skuad besar yang berkualiti diperlukan untuk penggiliran pemain dan memastikan pasukan berada pada tahap optimum untuk semua pertandingan,” katanya.

Beliau berkata, akan ada pemain yang terlibat dalam sistem penggiliran juga akan menyaksikan mereka bermain untuk JDT II untuk mendapatkan ‘match fitness’ dan memastikan mereka bersedia untuk pasukan utama pada bila-bila masa.

Menurutnya, penggiliran bersama JDT II juga akan membantu perkembangan pemain muda yang beraspirasi tinggi di JDT II apabila mereka dapat menimba pengalaman berharga bermain bersama pemain yang lebih berpengalaman.

“Ia sekali gus memastikan peralihan yang lancar ke pasukan senior seperti kisah kejayaan Arif Aiman Hanapi dan Ramadhan Saifullah.

“Pemain terbabit penggiliran dengan JDT II kekal sebagai sebahagian besar perancangan pasukan utama atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas. Oleh itu, kelab tidak dapat meminjamkan keluar pemain ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here