AKTIVIS tempatan Fatimah Zaharah Rahim bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pelakon Nabila Huda dalam masa terdekat ini.
Fatimah telah melantik peguam Nurul Hafidzah Hassan, Zeti Zulkifli dan Datuk Wan Azmir Wan Majid dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors bagi meneliti tindakan yang sesuai diambil ke atas pelakon tersebut.
Nabila dipercayai telah menggunakan media sosial menerusi laman Instagram dan Twitter miliknya, mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap seorang aktivitis tempatan yang menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Sungai Lui, Hulu Langat, bulan lalu.
“Berdasarkan dakwaan berita palsu, fitnah dan tuduhan yang dilemparkan ke atas anak guam, kami akan kaji tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap Nabila Huda,” ujar peguam Nurul Hafidzah, lapor Murai.my.
Menurut Nurul Hafidzah, Nabila Huda didakwa sengaja menyalahgunakan aplikasi media sosial yang menyebabkan perasaan kebencian orang ramai terhadap aktivis tempatan itu sehingga membawa kecaman.
Peguam Nurul Hafidzah turut memaklumkan, anak guamnya itu bertegas mengatakan apa yang dinyatakan oleh pelakon tersebut adalah tidak benar kerana ia boleh menyebabkan kedudukan mereka yang bekerja dalam industri hiburan diprejudiskan.
Untuk rekod, undang-undang fitnah di Malaysia terbahagi kepada tuntutan sivil dan tuntutan jenayah. Akta Fitnah 1957 mengawal selia tuntutan fitnah di bawah undang-undang sivil yang memberi remedi pampasan atau ganti rugi melalui Akta Undang-Undang Sivil 1976.
Manakala tuntutan jenayah meliputi Seksyen 499 hingga 502 Kanun Keseksaan yang membawa penalti penjara atau denda. -Malaysiapost

