Program vaksinasi Covid-19 kanak-kanak dilancarkan 3 Feb ini – KJ

0
1
https://www.facebook.com/photo?fbid=431494468347182&set=pcb.431496421680320

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun bermula Februari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pemberian itu akan dimulakan sebaik vaksin Pfizer (kanak-kanak) tiba di Malaysia mulai 31 Januari ini.

Beliau berkata, pelancaran program pemberian vaksinasi kanak-kanak itu akan diadakan pada 3 Februari 2022 di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.

“Sistem tempahan janji temu melalui MySejahtera akan mula dibuka pada penghujung bulan ini dan sebagai permulaan ibu bapa boleh mula mendaftarkan anak mereka sebagai tanggungan dalam aplikasi berkenaan.

“Tempahan janji temu vaksinasi bagi golongan berkenaan akan dibuka secara berperingkat bermula hujung bulan dan dibuka untuk ibu bapa yang tinggal di Lembah Klang dahulu,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Menurutnya, perincian mengenai akses kepada sistem tempahan janji temu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Khairy berkata, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) mengadakan mesyuarat pertamanya pada 19 Januari lalu.

Beliau berkata, mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

“CITF-C berperanan membentuk dasar, menyelaras strategi pengoperasian, mengenal pasti perkara yang boleh serta pemantauan pencapaian Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids).

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk memohon kepada majikan supaya memberikan cuti tanpa rekod kepada ibu bapa yang membawa anak mereka untuk vaksinasi dan juga untuk membuat pemerhatian kepada kesihatan anak mereka selepas vaksinasi.

“KKM menyasarkan 70 peratus kanak-kanak lima hingga bawah 12 tahun dalam sistem pendidikan dapat diberikan dos satu vaksin Pfizer (kanak-kanak) dalam tempoh dua bulan dari tarikh program dilancarkan.

“Dan 80 peratus akan menerima dos lengkap dalam tempoh enam bulan pelaksanaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here