ISU penggunaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) tidak akan timbul jika ia berfungsi seperti diharapkan dan tidak menyebabkan kesesakan yang teruk, tegas Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, kelemahan sistem berkenaan masih berlaku walaupun sudah menjalani tempoh percubaan sejak 3 September 2018.
Beliau berkata, kelemahan itu sebenarnya sangat ketara kerana ramai pengguna berdepan masalah RFID gagal mengesan atau membaca pelekat yang ditampal pada kenderaan.
“Seperti sering diwar-warkan teknologi RFID sepatutnya memudahkan dan memberi lebih keselesaan kepada orang ramai, namun hasilnya berbeza.
“Malah berisiko menjejaskan produktiviti tenaga kerja apabila ramai warga kerja akan terkandas dalam kesesakan lalu lintas saban hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, teknologi itu dianggap kecundang hingga menyebabkan banyak kenderaan terpaksa mengundur sebelum memasuki semula lorong RFID untuk membolehkan palang plaza tol dibuka.
“Persoalannya apakah permasalahan itu tidak dapat dikenal pasti sepanjang tempoh percubaan dan diperbaiki sebelum dilaksanakan secara meluas?
“Jika benar pemilik kenderaan yang tersilap memasang pelekat, maka penyaluran maklumat kepada pengguna lebuh raya tidak sempurna.
“Perkara seperti ini perlu dielakkan daripada berulang kerana rakyat tidak sepatutnya menjadi subjek ‘try and error’ dan keuntungan jualan pelekat,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan kini memaklumkan rakyat diberi pilihan sama ada mahu menggunakan sistem RFID atau tidak.
“Ini bermaksud pengumuman Kementerian Kerja Raya sebelum ini iaitu RFID akan digunakan secara menyeluruh di semua Plaza Tol Plus adalah terbatal,” katanya. – Malaysiapost

