MENTERI yang beria-ia menghabiskan cuti hujung tahun walaupun negara dilanda bencana digambarkan lebih kepada ingin menjaga hati dan perasaan isteri daripada menjaga hal ehwal rakyat.
Sindiran sinis itu disuarakan oleh Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman susulan beberapa menteri ‘hilang’ ketika negara dilanda bencana banjir hujung tahun lalu.
Tajuddin berkata, beliau faham dikalangan menteri terpaksa mengambil cuti kerana untuk menghabiskan cuti yang diperuntukkan kepada mereka, namun kepentingan menjaga rakyat haruslah diutamakan.
“Selalunya hujung tahun ni semua orang nak habiskan cuti. Tak ambil cuti, ‘burn’ pulak cuti kita tu. Pergi juga walaupun kadang-kadang ada hal terpaksa pergi kerana nak menghabiskan cuti. Ini pun satu hal juga.
“Saya dulu timbalan menteri, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tak pernah ambil cuti pun. Tak pernah cuti. Tapi sekarang ni, sedikit..sedikit nak cuti. Kalau dia tak nak bercuti, orang rumah pula ajak bercuti.
“Ni masalahnya. Nak jaga hati orang rumah lebih daripada nak jaga rakyat. Itu pula orang rumah bukan satu, dua, tiga…ini masalahnya. Jadi kalau keadaan begitu, pandai-pandailah menteri,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Tajuddin yang juga Pengerusi Kelab Ahli Parlimen menyokong kerajaan, turut menegur sikap pegawai kerajaan yang turut bercuti apabila menteri bercuti.
“Bukan menteri dan timbalan menteri sahaja bertanggungjawab dalam hal ini, pegawai-pegawai kerajaan juga Ketua Setiausaha (KSU), TKSU, pengarah-pengarah SUB dan sebagainya, pergi mana mereka ini?
“Ini bila menteri cuti, semua cuti. Orang ramai ada urusan apa-apa tergendala. Mereka cuti semua cuti maknanya jentera kerajaan lumpuh.
“Kalau nak cuti, pastikan jentera kerajaan terus berjalan, ‘delegate’ lah. Berilah tugas kepada pegawai-pegawai yang lain,” katanya. – Malaysiapost

