PEMBANGUNAN Fasa Ke-2 Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang diuruskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan dipercepatkan dalam usaha menangani bencana banjir, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan agensi yang bertanggungjawab supaya mempercepatkan pembangunan projek berkenaan yang meliputi 38 lembangan sungai utama seluruh negara.
Menurutnya, ia bagi membolehkan ramalan awal banjir yang lebih tepat dikeluarkan.
“Dalam masa sama, kaedah hebahan kepada orang awam perlu ditambah baik agar amaran awal dan arahan bersedia khususnya kepada penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir benar-benar berkesan.
“Misalnya menggunakan aplikasi WhatsApp, push notification melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkongsi antara pembentangan yang dibuat mengenai situasi bencana banjir pada penghujung tahun 2021 dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, di Parlimen, hari ini.
Ismail Sabri berkata, selain itu penghasilan visual simulasi banjir, infografik dan sebagainya juga perlu diberi perhatian yang boleh disebarluaskan melalui media massa dan media sosial.
“Cara penyediaan makanan untuk mangsa banjir juga perlu diubah dengan penggunaan teknologi retort ataupun makanan sedia dimakan (meals ready-to-eat) kerana kaedah pembungkusan tersebut lebih tahan lama dan kalis air.
“Bagi memastikan kerja-kerja menyelamat dan pengurusan bencana diselaraskan berjalan dengan lancar, pengerusi dan agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap peringkat perlu mahir dan memainkan peranan masing-masing.
“Ia selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sudah tiba masanya peranan dan sumbangan organisasi masyarakat sivil (CSO) diperkasakan dalam pengurusan bencana serta mengalu-alukan penglibatan mereka.
“Penglibatan CSO secara terselaras dapat melancarkan lagi proses penyampaian bantuan kepada mereka yang terjejas.
“Terima kasih barisan hadapan, CSO dan seluruh Keluarga Malaysia yang bersama-sama membantu mangsa banjir di seluruh negara,” katanya. – Malaysiapost

