PERDEBATAN mengenai makam karakter animasi Upin dan Ipin yang dikatakan ditemui di sebuah perkampungan di Indonesia terjawab apabila ahli keluarga pemilik makam itu tampil menjelaskan perkara sebenar.
Menurut Limiyadin, makam kedua-dua arwah tersebut tiada kena mengena dengan siri animasi terkenal dari Malaysia itu.
Beliau yang merupakan ibu saudara kepada kanak-kanak itu menjelaskan keluarganya menamakan semula makam itu sekitar tahun 2000 selepas selesai kerja baik pulih, memetik laporan Suara.com.
Katanya, dua kanak-kanak itu itu bukanlah kembar seperti yang dilaporkan, sebaliknya abang dan adik yang meninggal dunia ketika kecil akibat penyakit misteri.
“Mereka meninggal ketika usia belum mencapai setahun kerana penyakit misteri. Semasa kami sekeluarga membaik pulih tapak kubur pada 2000, ibu bapa anak-anak ini sengaja menamakannya Upin Ipin.
“Mereka mendapat inspirasi daripada karakter Upin Ipin dari Malaysia yang sangat popular di Indonesia,” jelas Limiyadin.
Sebelum ini, netizen dikejutkan dengan sebuah video yang memaparkan dua kubur kecil tertulis nama watak kartun terkenal Malaysia, Upin dan Ipin.
Video itu dimuat naik di laman TikTok oleh @ABI_ALONK_3110 di mana dalam rakaman itu turut menunjukkan Upin dan Ipin meninggal pada tahun 1995 dan 1996.
Susulan itu, Facebook rasmi Upin dan Ipin dalam satu hantaran menjelaskan watak dalam siri itu adalah rekaan semata-mata dan bukan berdasarkan kisah hidup dari mana-mana pihak sama ada di Malaysia ataupun Indonesia.
“Cerita Upin & Ipin adalah rekaan semata-mata dan ditulis sepenuhnya oleh Les’ Copaque Production,” katanya. – Malaysiapost

