PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersedia mendengar pandangan mengenai isu penggunaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dan memberi arahan jelas agar rakyat diberi pilihan untuk terus menggunakan laluan Smart Tag.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, perkara itu dibincang dan dimaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, isu RFID sememangnya sedang hangat diperkatakan di media ketika ini dan isu sama berlaku di Parlimennya membabitkan Tol Bertam yang menyukarkan urusan penduduk di kawasan berkenaan.
“Semalam semasa mesyuarat Jemaah Menteri, saya turut menyuarakan isu ini dan meminta agar pelaksanaannya diberi ‘soft-landing’.
“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri yang bersedia mendengar dan memberi direction jelas agar rakyat diberi pilihan untuk terus menggunakan laluan Smart Tag,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadhillah Yusof, yang cukup responsif serta pihak PLUS Malaysia Berhad yang memberi komitmen untuk menyelesaikan isu berkenaan dengan segera.
“Kepada orang-orang Kepala Batas, jangan risau. Insya-Allah, satu laluan RFID di Tol Bertam akan ditukar semula kepada laluan Smart Tag pada minggu hadapan.
“Ini jaminan yang telah diberikan kepada saya,” katanya. – Malaysiapost

