SEBANYAK RM300 bilion diperlukan dalam menangani penyelesaian banjir jangka panjang yang turut melibatkan fenomena perubahan iklim di seluruh negara.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peruntukan besar itu membabitkan pelaksanaan kerja-kerja secara berfasa selama tempoh 50 tahun iaitu sehingga tahun 2100.
“Fokus adalah kepada pembangunan infrastruktur air seperti tebatan banjir, pembinaan benteng, ban, pencegahan hakisan pantai dan sebagainya yang sudah mengambil kira faktor perubahan iklim,” katanya ketika membentangkan penerangannya pada Mesyuarat Khas Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.
Jelasnya, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menggariskan sembilan langkah jangka panjang antaranya mewujudkan pusat ramalan cuaca numerikal kebangsaan merangkumi pembangunan pusat komputer prestasi tinggi serta pembangunan, pengoperasian dan penyelidikan model cuaca.
Selain itu, Tuan Ibrahim berkata, kapasiti takungan air banjir akan ditingkatkan melalui pelaksanaan projek takungan air pinggiran sungai (TAPS) dan empangan.
Katanya ia bagi tujuan tebatan banjir dan sumber air, selain penggunaan pendekatan ‘nature-based solution’ seperti pembinaan denai sungai sebagai platform penglibatan masyarakat dalam aktiviti perlindungan, pembersihan dan pemuliharaan sungai.
“Membangunkan struktur dan reka bentuk infrastruktur tebatan banjir berkonsepkan ‘make room for water’ seperti menaik taraf sistem pengurusan banjir, pantai dan sungai-utama serta menaik taraf benteng/ban pantai/ sungai dan parit, dengan meningkatkan tahap perlindungan (kala purata ulangan – Average Recurrence Interval (ARI)) reka bentuk infrastruktur saliran dan pantai daripada 100 tahun ARI kepada 200 tahun ARI,” katanya.
Tuan Ibrahim menambah, KASA akan membangunkan Pusat Adaptasi Kebangsaan bagi menyelaras dasar dan pelaksanaan adaptasi perubahan iklim, integrasi pengurangan risiko bencana dan pencegahan kehilangan dan kerosakan akibat kesan perubahan iklim membabitkan sektor mudah terancam.
Bagi langkah jangka pendek pula, Tuan Ibrahim menjelaskan, KASA memastikan kesiapsiagaan infrastruktur tebatan banjir dengan kerjasama kerajaan negeri berfungsi pada tahap optimum dengan anggaran keperluan kos menjelang 2023 RM185 juta.
Menurutnya, KASA akan menyelenggara, mendalamkan dan membersihkan saliran utama, sungai serta kolam takungan banjir bagi meningkatkan kapasiti aliran dan takungan air larian permukaan dengan anggaran keperluan kos RM200 juta sehingga tahun depan.
“Menaik taraf 516 stesen siren sedia ada dengan penambahbaikan kepada sistem suara/siren amaran yang lebih berkesan serta dapat dibezakan dengan sistem siren ambulan polis. Sebanyak 155 stesen kamera web sedia ada juga akan dinaik taraf, di samping pembinaan 361 stesen kamera web baru.
“Kerja-kerja ini melibatkan penambahbaikan kepada aspek perkongsian visual keadaan semasa di kawasan lembangan sungai dengan orang ramai supaya lebih bersedia apabila paras air sungai mencapai tahap bahaya. Kedua-dua kerja ini membabitkan anggaran keperluan kos RM160 juta sehingga tahun depan,” katanya.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, Prosedur Tetap Operasi (PTO) akan diwujudkan bagi maklumat taburan hujan dan aras air selain ‘flood evacuation map’, bagi membangunkan ‘flood hazard map’ membabitkan 36 kawasan yang sudah disediakan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), sementara 15 kawasan lagi sedang dalam penyediaan.
“Menaik taraf 100 stesen pencerapan cuaca permukaan automatik sedia ada yang usang dan tidak dapat beroperasi pada tahap optimum kepada peralatan baru berteknologi tinggi dan canggih bagi mengeluarkan ramalan dan amaran cuaca dalam masa nyata dan boleh percaya,” katanya. – Malaysiapost

