SERAMAI 10 ahli sindiket penipuan dalam talian (calling center) diberkas melalui serbuan berasingan di dua premis di Jalan Ampang, pada Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak, berkata serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.
“Serbuan pertama menahan seorang wanita dan enam lelaki warganegata China berusia 22 hingga 35 tahun serta merampas pelbagai peralatan termasuk komputer riba dan 17 telefon bimbit dipercayai digunakan dalam menjalankan kegiatan penipuan berkenaan.
“Pada hari sama, serbuan dan tangkapan dibuat di satu lagi unit di kawasan sama dengan penahanan seorang wanita tempatan serta dua lelaki warganegata China berusia 22 hingga 35 tahun yang ditangkap bersama rampasan enam telefon bimbit dan dokumen skrip yang digunakan untuk penipuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kesemua tangkapan adalah pekerja sindiket kedua-dua kumpulan penipuan dalam talian itu dan dipercayai sudah beroperasi sejak pertengahan tahun 2020.
“Kesemua tangkapan direman daripada 17 Januari hingga 21 Januari ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dan membuat semakan sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya. – Malaysiapost

