TINDAKAN mempertikaikan kelayakan pendidikan dan integriti Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat bukan sahaja mencemar dan memburukkan imej Perdana Menteri, tetapi turut mencalar reputasi Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM).
Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (PARFUM), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berpendapat komen dibuat seorang pengguna Facebook ‘Andrew Peris’ yang mempertikaikan kelayakan Ismail Sabri meneruskan pengajian Ijazah Perundangan (LLB) di Fakulti Undang-Undang, UM adalah berbaur fitnah.
“Komen tersebut boleh dianggap sebagai satu tindakan untuk mencemar dan memburukkan imej Perdana Menteri dan seterusnya mencalar reputasi Fakulti Undang-Undang UM,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, Fakulti Undang-Undang UM telah ditubuhkan pada 1972 di mana pada ketika itu Allahyarham Professor Diraja Dr Ungku Abdul Aziz merupakan Naib Canselor Universiti Malaya, manakala dekan pertama fakulti berkenaan adalah Allahyarham Tan Sri Professor Ahmad Ibrahim.
“Ketika Perdana Menteri diterima masuk pada tahun 1980, Allahyarham Professor Ahmad Ibrahim merupakan Dekan yang menguruskan keseluruhan Fakulti.
“Dengan sifat integriti yang amat tinggi, adalah sukar untuk sesiapa diterima masuk tanpa memenuhi kelayakan yang ditetapkan ke Fakulti Undang-Undang UM sebagai penuntut,” katanya.
Shahrizat berkata, jelas penerimaan masuk Ismail Sabri ke fakulti berkenaan adalah berasaskan merit dan beliau juga telah membuktikan wajar mendapat biasiswa semasa pengajiannya di UM apabila berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh masa yang ditetapkan seterusnya diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara.
“Fakulti Undang-Undang UM adalah yang pertama dan terulung di negara ini. Dalam hampir 50 tahun penubuhannya pada tahun ini, Fakulti ini telah berjaya melahirkan tokoh-tokoh terkemuka seperti Ketua Hakim Negara dan Hakim-Hakim, Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ahli Jemaah Menteri, Peguam Negara, Peguam-Peguam dan ahli-ahli korporat yang disegani.
“Walaupun Ismail Sabri dibesarkan dalam keluarga yang sederhana, beliau telah mengatasi cabaran dengan kesungguhan untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik sehingga mampu melakar sejarah apabila menjadi graduan pertama dari Fakulti Undang-Undang UM yang dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

