5.8 juta pengundi baru bakal hadapi diskriminasi undi – BERSIH

0
2

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mendakwa 5.8 juta pengundi baru bakal menghadapi diskriminasi undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika kawasan pilihan raya tidak dipersempadanankan semula.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam kenyataannya mengingatkan, pengundi baru hasil pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik (AVR) perlu bersedia dengan kehampaan besar dalam PRU15 jika sistem pilihan raya kekal sama dan kawasan pilihan raya tidak disempadanankan semula.

“Kebanyakan daripada 5.8 juta pengundi baru adalah anak muda yang tertumpu di kawasan bandar akan mempunyai kertas undi bernilai yang mungkin serendah 1/6 daripada undi datuk nenek mereka di kampung.

“Sebagai contoh, dalam PRU14, jika Siti (hipotetikal) yang berasal daripada P92 Sabak Bernam memindahkan pendaftarannya kepada P102 Bangi kerana belajar di universiti di sekitar Bangi/Serdang, maka nilai undinya serta merta mengecut 77%.

“Ini kerana P92 Sabak Bernam ketika itu cuma mempunyai 40,863 pengundi atau 22.8% daripada jumlah pengundi P102 Bangi. Dalam lain kata, suara seorang pengundi Sabak Bernam melebihi suara 4 orang pengundi Bangi.

“Menurut satu unjuran, jumlah pengundi Bangi mungkin mencecah 300,000 dengan pertambahan pengundi baru. Jika jumlah pengundi baru di Sabak Bernam gagal mencapai 50,000, maka nilai undi Siti menjadi 1/6 daripada undi datuk neneknya di kampung asal,” katanya.

Menurut BERSIH, jika persempadanan tidak berlaku dan tiada juga alternatif lain, maka ramai pengundi baru akan rasa tertipu kerana merasakan mereka ada kuasa untuk tentukan masa depan negara dan diri sendiri, tetapi akhirnya mendapati undi sendiri tidak bernilai berbanding dengan undi orang lain.

“Kebanyakan pengundi baru akan tertumpu di kawasan-kawasan pengundi padat di pusat bandar kerana di situ banyak peluang pekerjaan dan pendidikan yang menarik pengundi muda,” katanya.

Justeru, BERSIH menjelaskan, persempadanan kawasan boleh berlaku tanpa menunggu genapnya jurang lapan tahun daripada perlengkapan kajian sempadan yang lalu, iaitu selewatnya 2023 untuk Sarawak, 2025 untuk Sabah dan 2026 untuk Semenanjung.

“Di bawah Perkara 113(3), untuk mana-mana negeri yang mengalami perubahan bilangan kerusi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, persempadanan semula mesti dijalankan untuk memenuhi kehendak “lebih kurang sama banyak” dan “pemeliharaan hubungan tempatan” dalam Jadual ke-13,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here