
SEBANYAK 29 lagi kes positif Covid-19 membabitkan pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Kota Bharu, Kelantan, dikesan semalam, menjadikan keseluruhan 73 kes.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata Kluster Embi Telipot membabitkan pelajar asrama sekolah berkenaan di Kota Bharu dan yang tinggal di Jeli.
Katanya, setakat ini hanya dua daerah yang dikesan terbabit dengan kluster itu dan ia dapat dikawal.
“Namun, pihak kita terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan kluster tidak merebak ke kawasan lain.
“Pelajar yang positif dan bergejala terus diasingkan dengan bantuan pihak sekolah, manakala kontak rapat, mereka menjalani kuarantin di asrama.
“Mereka dipantau pihak sekolah dan dibantu petugas kesihatan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Dr Zaini berkata, pelajar berusia 13 hingga 18 tahun itu dinasihatkan supaya terus menjaga diri dan memaklumkan kepada pihak sekolah sekiranya mempunyai gejala.
Semalam media melaporkan, seramai 44 pelajar asrama sebuah sekolah berasrama penuh di Jalan Telipot, dikesan positif Covid-19 sehingga kelmarin. – Malaysiapost
