Fitri Nizam
SEORANG jurujual syarikat pengedar emas dan rakannya cedera selepas terkena serpihan cermin yang dipecahkan tiga lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian samun di Lebuhraya Besraya, Kuala Lumpur, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 petang itu, mangsa menaiki sebuah kenderaan dalam perjalanan dari Kuchai Lama menghala ke Sungai Besi.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi, berkata kenderaan dinaiki mangsa kemudiannya dihalang dua pacuan empat roda.
“Tiga lelaki bersenjatakan parang menghampiri kenderaan mangsa dan memecahkan cermin sebelum menarik jurujual berkenaan serta rakannya keluar.
“Suspek kemudian melarikan kereta mangsa bersama barang kemas dan wang tunai di dalam kenderaan itu. Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan akibat terkena serpihan cermin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zairulnizam berkata, menurut mangsa, semua suspek berbadan besar memakai baju lengan panjang dan memakai topeng ski.
“Difahamkan mangsa mempunyai urusan jual emas kepada beberapa kedai emas di Kuala Lumpur.
“Hasil maklumat awal, kereta mangsa ditemui di kawasan Damansara, Petaling Jaya, Selangor dalam keadaan terbakar,” katanya.
Beliau berkata, usaha memburu suspek yang terbabit dalam kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes di talian 03-22979222 untuk tindakan lanjut,” katanya. -Malaysiapost

