Isu pemilikan saham KP SPRM masih jadi persoalan – peguam

0
2

ISU pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki masih menjadi persoalan di sebalik keputusan siasatan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang mendakwa tiada kesalahan dilakukannya. 

Peguam terkenal, Haniff Khatri Abdullah berkata, Azam masih wajar mengambil cuti rehat sementara siasatan lanjut dibuat.

Haniff menegaskan, perlu dilihat jika ada unsur rasuah berkaitan penggunaan akaun Azam oleh adiknya

Menurut Haniff, di bawah pekeliling kerajaan berhubung pengisytiharan harta yang dikeluarkan pada 2002, penjawat awam perlu mengisytiharkan pemilikan saham dan ia juga menetapkan jumlah maksimum yang boleh dilaburkan dalam pegangan saham.

Namun belum dipastikan sama ada tindakan membenarkan adiknya, Nasir Baki untuk membuka akaun saham menggunakan namanya melanggar peraturan itu.

“Persoalannya, bilakah siasatan ini akan diadakan? Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Mengenai Rasuah, Rais Yatim telah menyatakan perkara sama bahawa ia wajar disiasat pihak berkuasa – sama ada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau pengarahnya – untuk melihat jika ada pelanggaran undang-undang dalaman yang membolehkan tindakan tatatertib lanjut diambil,” katanya dalam rakaman klip video di Facebooknya, semalam. 

Selain itu, Haniff menegaskan, perlu dilihat jika ada unsur rasuah berkaitan penggunaan akaun Azam oleh adiknya.

“Berbanding meleretkan perkara ini berpanjangan, pihak berkuasa patut menubuhkan jawatankuasa siasatan khas seperti yang disyorkan saya dan ramai lagi sebelum ini.

“Adalah tanggungjawab peguam negara untuk mengambil teraju menyelesaikan siasatan terhadap dua perkara ini, walaupun jika kita menerima kenyataan SC yang kononnya telah menutup siasatan dan (mendapati) tiada kesalahan berkaitan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda),” katanya lagi.

Haniff berkata Azam sendiri wajar mencadangkan siasatan dibuat secepat mungkin kerana beliau pasti mahu membersihkan namanya.

Dalam kenyataan semalam, SC berkata pihaknya tidak dapat “secara muktamad” memutuskan berlaku pelanggaran dalam Seksyen 25(4) Sicda apabila Nasir dikatakan membuka akaun dagangan saham menggunakan nama Azam.

Rekod awam menunjukkan bahawa Azam adalah pemegang waran penting dalam syarikat senarai awam Excel Force MSC Sdn Bhd setakat Mac 2016 semasa dirinya adalah ketua jabatan siasatan SPRM

Isu ini mencuri tumpuan pada Disember tahun lalu selepas ahli akademik Edmund Terence Gomez meletak jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, atas dakwaan panel itu enggan meneliti perkara berkenaan.

Susulan itu, Azam mendakwa urusan tersebut berlaku kerana akaun dagangannya digunakan oleh adiknya, Nasir. – Malaysiapost

Kredit foto The Edge Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here