Fitri Nizam
KEGAGALAN pemaju binaan menentusahkan alat timbang dan sukat yang digunakan untuk aktiviti pembinaan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.
Penggunaan alat penimbang dan sukat dalam industri perdagangan bukan sahaja dapat mengelakkan unsur penipuan ketika urus niaga, malah mengelak kejadian kemalangan terutama membabitkan struktur binaan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata terdapat beberapa jenis alat timbang dan sukat digunakan oleh pemaju atau peniaga dalam urusan perdagangan wajib ditentusahkan yang terbahagi kepada empat kategori utama iaitu jisim, isipadu, masa dan panjang.
Dalam isu kemalangan membabitkan pengguna jalan raya cedera akibat ditimpa konkrit binaan beliau berkata, alat timbang yang dipasang pada loji pengelompokan simen (concretea batching plant) yang digunakan dalam kerja pembinaan sangat penting.
“Dalam dunia teknologi serba canggih ini, banyak penipuan boleh berlaku termasuklah penipuan membabitkan alat timbang dan sukat.
“Dalam kerja pembinaan umpamanya, kegagalan kontraktor atau pemaju mendapatkan kelulusan penentusahan pada alat timbang yang dipasang pada loji pengelompokan konkrit yang digunakan untuk menghasilkan gred konkrit dalam kerja pembinaan, boleh menjejaskan kestabilan struktur binaan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan itu akhirnya boleh mengundang padah seperti kejadian konkrit binaan jatuh sehingga mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa dan sebagainya.
“Justeru, peniaga, pengusaha dan pemaju binaan wajib untuk menentusahkan alat timbang dan sukat yang digunakan mereka bagi menjamin aktiviti perdagangan yang adil serta selamat untuk pengguna.
Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan pihak terbabit dikenakan tindakan undang-undang,” katanya. -Malaysiapost

