BEKAS Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mempersoalkan nasib guru interim yang masih tidak mendapat perhatian pihak berwajib sehingga kini.
Menurutnya, beliau menerima banyak aduan daripada pelbagai pihak berkenaan isu tersebut terutama keluhan dari guru interim sendiri.
“Isu ini dibangkitkan kerana para guru ini ingin mengetahui apakah status mereka? Harapan saya adalah belenggu ini akan berakhir untuk mereka.
“Pendidikan adalah tanggungjawab bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu telus dan menyelesaikan secepat mungkin masalah berkenaan guru interim.
Katanya, guru interim adalah guru sandaran berstatus DC41 yang ditempatkan di sekolah bagi menampung kekurangan guru di Malaysia.
Dalam masa sama, katanya, mereka ditawarkan kontrak oleh KPM untuk mengajar dan pada masa sama perlu mengikuti latihan ikhtisas di Institut Pendidikan Guru (IPG) secara Kursus Dalam Cuti (KDC)
“Guru interim mendapat hampir keseluruhan keistimewaan sebagai pejawat awam guru (DG), kecuali beberapa aspek seperti elaun perumahan dan cuti bersalin. Namun status mereka menjadi pertikaian apabila tidak menerima lanjutan kontrak walaupun menamatkan program ikhtisas.
“Ini memberi gambaran ketidakjelasan hala tuju KPM dalam pengurusan guru baharu apabila status guru interim seperti tidak ada pembelaan dan bertambah buruk apabila pengambilan ‘one off’ guru seramai 18,702 juga terumbang-ambing.
“Walaupun Menteri Kanan Pendidikan mengadakan pertemuan dengan SPP, namun tidak ada jaminan konkrit diberikan beliau,” katanya.
Mengulas berkenaan pengambilan guru baharu seramai 18,702, Maszlee berkata, ia langkah yang baik kerana dapat mengurangkan bebanan pendidik sedia ada di sekolah selain mengimbangi nisbah tenaga pengajar dan murid.
“Namun apabila tidak dapat diselaraskan secara komprehensif, ia seperti ‘yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran’.
“Satu kerugian kepada dunia pendidikan apabila guru yang berkhidmat selama tiga tahun meninggalkan perkhidmatan hanya kerana kegagalan KPM untuk merancang,” ujarnya.
Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menyegerakan urusan temuduga kumpulan calon Guru Interim Bahasa Inggeris lantikan 2019 yang akan tamat kontrak pada April ini.
Katanya, selain kumpulan guru berkenaan, langkah sama turut diambil kepada guru interim bagi mata pelajaran Pendidikan Islam dan guru interim di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dan Sarawak. – Malaysiapost

