‘Tidak logik saya biarkan anak bersendirian’

0
1

PELAKON, Fizo Omar menyifatkan dakwaan bekas isterinya, Mawar Karim, berhubung dirinya mengabaikan anak mereka, Wan Maryam ketika bercuti di Taman Tema di Johor Bahru baru-baru ini, sebagai tidak masuk akal.

Jelas Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 36, dia dan Maryam sangat rapat dan tak tergamak untuk membiarkan Maryam seorang diri.

Katanya, kesemua permainan di taman tema tersebut direka khusus untuk kanak-kanak, dan sememangnya tidak logik anaknya dibiarkan bersendirian.

“Maryam sangat rapat dengan saya, tidak logik jika saya sanggup tinggalkan dia seorang diri. Saya bawa anak ke taman tema tersebut yang sememangnya tempat kanak-kanak dan logik ke kalau nak tinggalkan dia seorang diri?

“Kami pergi ke sana seramai tujuh orang dan masuk akal ke kalau dia dibiarkan seorang diri, manakala kami semua sibuk bermain?” katanya seperti dilapor Kosmo, hari ini.

Enggan mengeruhkan lagi keadaan, Fizo menegaskan tidak akan membalas sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas isterinya bagi mengelakkan lebih banyak salah faham.

Pelakon drama ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ berkenaan juga berharap orang ramai khususnya netizen tidak terus mengecam dan memberinya ruang yang sepatutnya kepada bekas isterinya, Mawar Karim.

“Itu sajalah jawapan saya dan tak mahu membalas mana-mana kenyataan pihak lain.

“Jadi, rasa-rasanya orang pun tahu menilai dan saya sendiri tidak sempat nak lihat media sosial, ada juga mendengar orang bercakap mengenai hal ini serta ramai juga netizen memberi pandangan. Terima kasih untuk semua pandangan dan nasihat yang diberikan.

“Saya maafkan dia dan mohon netizen tidak menghentam dan terus menghukum dia, mungkin kerana terlalu beremosi,” katanya.

Turut meleraikan persoalan ramai, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu menjelaskan hubungan Maryam dengan isterinya, Fazeera Nazri Aziz sangat rapat.

“Sebagai bapa, saya tidak akan abaikan anak sendiri sedangkan Maryam sangat rapat dengan saya. Saya nak ke tandas pun dia nak ikut saya.

“Dia juga sangat rapat dengan isteri saya, Fazeera Nazri Aziz yang dipanggil sebagai ummi.

“Jadi benda ini pun memang tak maksud akal dan itu pandangan dia, apapun janganlah terus menghentam dia,” katanya.

Terdahulu, Mawar memuat naik beberapa hantaran InstaStory memberi bayangan percutian anaknya bersama Fizo ‘tidak seindah rupa’ seperti ditunjukkan dalam media sosial.

Persoalan itu timbul apabila Mawar menerima sekeping gambar daripada seorang individu memaparkan Maryam dilihat berdiri bersendirian di taman tema tersebut.

Tidak terhenti di situ, dia turut meluahkan rasa kecewa dan risau apabila Maryam menyebut perkataan sedih selepas pulang bercuti dengan bapanya.

Untuk rekod, Mawar mendirikan rumah tangga bersama Fizo pada November 2013 sebelum disahkan bercerai pada 10 Julai 2019.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Maryam.

Namun Fizo kembali mendirikan rumah tangga sekali lagi bersama Fazeera yang juga seorang bekas pramugari pada 21 Oktober 2021 di Janda Baik, Pahang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here