Upin Ipin kisah rekaan semata-mata, idea asal dari ‘Opah’

0
2
upin ipin

WATAK siri animasi Upin dan Ipin adalah rekaan semata-mata dan bukan berdasarkan kisah hidup dari mana-mana pihak sama ada di Malaysia ataupun Indonesia.

Berdasarkan hantaran di laman Facebook Upin dan Ipin menjelaskan perkara tersebut, setelah tular kononnya watak dua kanak-kanak kembar itu sebenarnya wujud di sebuah kampung terletak di Sulawesi, Indonesia.

“Cerita Upin & Ipin adalah rekaan semata-mata dan ditulis sepenuhnya oleh Les’ Copaque Production.

“Ianya tidak diambil atau diinspirasi dari kisah sesiapa yang masih hidup mahupun yang telah tiada,” kata hantaran itu semalam.

Jelas hantaran itu, idea asal cerita Upin dan Ipin adalah dari Ainon Ariff, yang juga merupakan pelakon suara bagi watak Opah dalam siri itu.

“Setiap cerita yang ditulis bukan sahaja mudah difahami tetapi juga sarat dengan mesej yang bermanfaat,” ujarnya.

Sebelum ini, netizen dikejutkan dengan sebuah video yang memaparkan dua kubur kecil tertulis nama watak kartun terkenal Malaysia, Upin dan Ipin.

Video itu dimuat naik di laman TikTok oleh @ABI_ALONK_3110 di mana dalam rakaman itu turut menunjukkan Upin dan Ipin meninggal pada 1995 dan 1996.

Dua kubur yang ditulis nama watak Upin dan Ipin

Menerusi penceritaannya, Upin dan Ipin adalah kejadian sebenar yang pernah berlaku di kampungnya di Palu, Sulawesi Tengah, di mana mereka berdua bersama ibu bapanya meninggal dunia selepas terlibat kemalangan jalan raya.

Katanya, hanya kakak mereka yang dikenali sebagai Kak Ros yang terselamat, dan kisah kartun terkenal tersebut terinspirasi dari kejadian itu.

Bagaimanapun, ramai netizen yang menyangkal penjelasan itu dan menerangkan siri Upin dan Ipin hanyalah rekaan semata-mata ciptaan Les’Copaque Production Sdn Bhd, sebuah syarikat animasi terkenal di Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here