PAS perlu perjelas alasan gugurkan Mohd Khairuddin – Nik Abduh

0
1

AHLI Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menggesa PAS memberi penjelasan rasmi berhubung sebab dan alasan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.

Nik Mohamad Abduh berkata, penjelasan itu penting kerana pengguguran itu telah dimasyhurkan secara rasmi oleh pimpinan PAS dan ia bukan ‘bocor’ atau tular semata-mata.

“Mohd Khairuddin seorang pemimpin PAS yang amat kuat menyokong usaha-usaha memulihkan hubungan PAS dan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) yang semakin suram cahayanya.

“Apabila Setiausaha Agung PAS (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) dengan lantang menolak alasan pengguguran atas faktor perselisihan antara MN dan PN, maka nyatalah ia adalah disebabkan hal lain. Ia masalah disiplin dalam parti,” tulisnya di Facebook.

Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, sekiranya pengguguran itu disebabkan masalah disiplin dalaman, maka penjelasan harus diberikan kepada umum dan bukan hanya kepada ahli parti sahaja.

“Gugur mesti bersebab. Mohd Khairuddin adalah antara figura utama pemimpin PAS. Beliau seorang bekas Menteri daripada PAS. Beliau juga adalah setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS.

“Maka menjadi hak publik, bukan hanya ahli PAS untuk mengetahui sebab pengguguran tersebut. Pengguguran kerana isu disiplin adalah satu pencalaran kepada akhlak berjamaah,” katanya.

Menurut Nik Mohamad Abduh, perkara itu memberi kesan terhadap tiga pihak selain Mohd Khairuddin sendiri, ia turut menjejaskan penyokongnya dan Majlis Syura Ulamak PAS.

“Justeru, saya kira penjelasan rasmi harus diberikan segera. Ia boleh membina persepsi yang baik kepada parti PAS. PAS sekarang memerintah negara.

“Segala mesti telus apabila melibatkan ahli parti yang memegang amanah rakyat. Beliau adalah wakil rakyat Parlimen Kuala Nerus,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Mohamad Abduh membidas tindakan Takiyuddin yang didakwa mencabar Mohd Khairuddin menyatakan sendiri alasan penggugurannya sebagai tunjuk ‘bekeng’.

“Logiknya Khairuddin lah yang patut mencabar, sebab beliau lah yang patut rasa tercabar atau marah kerana telah digugurkan dengan alasan disiplin jamaah yang masih belum diketahuinya secara rasmi,” katanya.

Jelas Nik Mohamad Abduh, kebiasaannya tindakan disiplin parti didahului dengan ‘khabar angin luar’ sebelum menimbulkan spekulasi banyak pihak termasuk media berhubung tindakan yang akan dikenakan terhadap ahli parti berkenaan.

“Contohnya Umno. Dalam Umno ada beberapa pemimpinnya yang acap mencabar presiden partinya. Ia menjadi bising di luar. Macam besar sangat krisis bakal meletus. Lalu rakyat dan orang surat khabar menunggu-nunggu tindakan parti.

“Rumours atau desas desus berlaku dan viral. Tetapi Umno nampak tenang dan buat ‘donno’ (tak tahu) saja. Orang surat khabar (media) jadi kecewa kerana tak boleh buat berita.

“Cara PAS dan Umno berbeza. Masing-masing ada cara. Saya adalah sahabat rapat Mohd Khairuddin,” katanya.

Jumaat lalu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan Mohd Khairuddin digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS, selepas kira-kira dua bulan dilantik memegang jawatan itu.

Abdul Hadi, berkata pengguguran mana-mana pemimpin adalah perkara biasa dalam PAS, termasuk diberhenti atau ditukarkan.

Katanya, pengguguran bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu diputuskan pada mesyuarat PAS yang diadakan di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur, minggu lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here