Doktor antara 7 ditahan jual sijil vaksinasi Covid-19

0
2

SEORANG doktor yang juga pemilik sebuah klinik swasta di Gombak, Selangor antara tujuh individu yang ditahan kerana disyaki mengeluarkan sijil vaksinasi Covid-19 tanpa perlu menjalani proses suntikan vaksin dalam serbuan di klinik berkenaan minggu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, mereka yang ditahan membabitkan empat lelaki dan tiga wanita berusia 20 hingga 35 tahun serta seorang

Menurutnya, siasatan awal mendapati kegiatan kumpulan itu dikesan menerusi mesej yang tular melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan khidmat pendaftaran vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata, semakan mendapati klinik berkenaan juga mendapat kebenaran Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melaksanakan suntikan vaksin Covid-19.

“Ini bukan kes pemalsuan sijil vaksinasi kerana pelanggan mendapat sijil vaksinasi original, tetapi cara memperolehi sijil berkenaan adalah dengan cara yang tidak sah.

“Satu laporan polis berkenaan aktiviti ini diterima di Shah Alam dan hasil siasatan kumpulan ini didapati beroperasi di sebuah klinik swasta.

“Kumpulan ini menyasar golongan anti-vaksin atau yang tidak mahu mendapatkan suntikan vaksin,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, klinik berkenaan memang menerima bekalan vaksin, namun bertindak membuangnya dan memulangkan botol kepada KKM sebagai tanda ia sudah disuntik.

“Pada peringkat awalnya pelanggan yang mahukan sijil vaksinasi tanpa perlu disuntik vaksin Covid-19 itu dikenakan bayaran sebanyak RM3,000.

“Namun berdasarkan soal siasat dijalankan, harga sijil diturunkan kepada RM500 dan mengapa harga diturunkan mungkin sebab ada persaingan dari kumpulan lain yang sedang polis kesan,” katanya.

Beliau berkata, bagi klinik yang diserbu terbabit sebanyak 5,601 penerima ‘suntikan’ yang dikeluarkan sijil vaksinasi Covid-19 tanpa suntikan sebenar.

Menurutnya, polis juga sedang menyiasat jumlah sebenar pendapatan diperoleh kumpulan terbabit melalui penjualan sijil vaksinasi berkenaan.

“Kumpulan ini dipercayai sudah melakukan aktiviti ini sejak beberapa bulan yang lalu iaitu dua hingga tiga bulan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here