KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) kini menumpukan usaha bagi memperkasakan sektor pendidikan khususnya tentang pengambilan guru baharu.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, berkata antara tumpuan adalah untuk menyelesaikan sepenuhnya pengambilan khas secara ‘one-off’ bagi 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan.
Beliau berkata, ia adalah penting bagi menyediakan guru berkualiti yang mencukupi untuk memenuhi kekosongan jawatan sedia ada.
“Terima kasih Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) kerana telah selesai menjalankan temuduga bagi pengambilan khas ini dan sebahagian daripada calon berjaya telah menerima tawaran lantikan.
“Dalam hal ini, KPM amat memerlukan bantuan segera SPP untuk menyelesaikan baki pengambilan guru tersebut bagi membolehkan penempatan guru dibuat sebelum sesi persekolahan akan datang bermula,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut berkongsi mengenai menerima kunjungan Pengerusi SPP yang baharu, Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff, hari ini.
Menurutnya, dalam pertemuannya dengan kepimpinan SPP itu, turut dibincangkan mengenai guru lantikan secara kontrak dan guru interim.
Katanya, perbincangan juga turut melibatkan guru interim bagi mata pelajaran bahasa Inggeris lantikan tahun 2019 yang akan tamat kontrak pada bulan April ini.
“Saya mohon supaya SPP dapat menyegerakan segala urusan temuduga kumpulan calon guru ini.
“Begitu juga dengan urusan lantikan bagi guru interim mata pelajaran Pendidikan Islam serta guru interim JPN Sabah dan Sarawak yang mana kontrak mereka juga akan tamat tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, perbincangan turut menyentuh tentang keluhan graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) bagi pengambilan khas.
Menurutnya, berdasarkan maklum balas SPP, terdapat lebihan graduan pendidikan bagi mata pelajaran tertentu, termasuk graduan PAKK dan perkara itu akan diteliti oleh KPM serta SPP.
“Selain guru, kami turut membincangkan tentang pengambilan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) yang perlu disegerakan bagi membantu melancarkan pengoperasian sekolah.
“Alhamdulillah, pihak SPP akan memberi komitmen sepenuhnya untuk mempercepatkan urusan pengambilan guru dan AKP bagi membolehkan pengoperasian sekolah. KPM komited melakukan yang terbaik,” katanya. – Malaysiapost

