Pengeluaran tambahan KWSP beri impak besar kepada rakyat, negara

0
2

Nilam Oshman

KEUNTUNGAN RM48 bilion yang dijana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini, tidak boleh dijadikan penunjuk untuk membenarkan pengeluaran tambahan untuk pencarum.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata jika pengeluaran tambahan KWSP dibenarkan lagi, agensi itu perlu menjual pelbagai bentuk pelaburan untuk menampung langkah tersebut.

“Bila pelaburan kurang, maka dividen untuk pencarum secara automatik akan menjunam. Kos pinjaman bagi seluruh Keluarga Malaysia, tidak kira individu, syarikat mahupun kerajaan akan meningkat.

“Walaupun KWSP merupakan antara pelabur terbesar di pasaran modal negara namun penjualan pelaburan mereka akan menyebabkan kecairan berkurangan.

“Lantas ia menjejaskan keyakinan pelabur lain yang akan turut menjual pegangan saham dan Bon dalam negara serta para penyimpan lain yang bergantung kepada pulangan pasaran modal negara akan terkesan dan merasa akibatnya.

“Ini termasuk ahli KWAP, Tabung Haji dan TLT serta pelabur Skim Amanah Saham (ASNB) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB),” katanya menerusi rakaman video di Facebooknya.

Bagaimanapun, beliau berkata, ada pihak yang menafikan kesan-kesan tersebut susulan pengumuman KWSP mengenai keuntungan pelaburan baru-baru ini.

“Pihak tersebut telah menyatakan bahawa dengan caruman yang diterima KWSP setiap bulan, pegangan mereka di dalam pelaburan sektor kewangan atau money market serta langkah yang boleh diambil oleh negara melalui unconventional monetary policy (UMP) akan memastikan tiada masalah kecairan di dalam pasaran modal ini.

“Justeru, saya ingin tegaskan bahawa dakwaan ini adalah kurang tepat kerana keuntungan RM48 bilion KWSP yang baru diumumkan itu adalah diperolehi daripada dividen yang diterima melalui pegangan saham serta aktiviti Perdagangan di pasaran modal.

“Ini untuk memastikan tunai mencukupi untuk pengeluaran i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra serta pengeluaran biasa bagi ahli yang lebih berumur 55 tahun dan juga pengeluaran akaun 2 untuk perumahan, pendidikan, perubatan dan lain-lain,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, dari Januari hingga September 2021, pengeluaran KWSP iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, sudah hampir RM110 bilion.

Jelasnya, sepanjang tempoh tersebut, pengeluaran biasa sudah hampir RM34 bilion, bersama-sama i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra KWSP telah menyalurkan hampir RM110 bilion kepada ahli.

“Ini adalah jauh lebih tinggi berbanding jumlah caruman yang masuk sepanjang tempoh yang sama iaitu sekitar RM 51 bilion,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here