
JANGKITAN harian kes Covid-19 di Malaysia dijangka meningkat selepas sambutan perayaan Thaipusam yang disambut esok dan Tahun Baharu Cina pada 1 Februari depan, jika orang ramai mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, menjelang sambutan kedua-dua perayaan itu rakyat diingatkan supaya terus menjaga SOP terutama pemakaian pelitup muka.
“Kita berjaya memastikan penularan Covid-19 kekal terkawal ketika Krismas dan sambutan Tahun Baharu yang lalu, meskipun negara diancam varian Omicron.
“Kita akan menyambut Thaipusam dan Tahun Baharu Cina pula, kemungkinan kes jangkitan harian akan meningkat,” katanya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.
Menurutnya, selain pemakaian pelitup muka, orang ramai perlu mengamalkan TRIIS iaitu ujian saringan, melaporkan hasil ujian saringan, menjalani kuarantin, memaklumkan pada kontak rapat jika positif dan mendapatkan rawatan segera).
Khairy turut menyarankan orang ramai mengaktifkan fungsi MySejahtera Trace di kawasan tumpuan awam bagi membolehkan pengesanan kontak rapat kes positif secara lebih berkesan, selain mendapatkan dos penggalak. – Malaysiapost
