KELAB Pesara Kerajaan 1 Malaysia (Kupekmas) menyifatkan desas-desus mengenai tindakan kerajaan untuk menarik balik kenaikan dua peratus pencen pesara, tidak adil.
Menurut Presidennya, Datuk Omar Osman, kerajaan sebelum ini bersetuju untuk
kenaikan pencen dua peratus setahun selepas rundingan.
“Tetapi kini tiba-tiba secara sembunyi mahu dihapuskan tanpa sebarang rundingan khususnya dengan pesara ketika kerajaan telah pun mewujudkan Majlis Perundingan Persara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Jadi, di mana peranan mereka,
sepatutnya kerajaan perlu berbincang dahulu dengan persatuan pesara sebelum keputusan mengenainya diambil.
“Bayaran Khas kepada pesara tidak termasuk mereka di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)? Mengapa mereka dianaktirikan sedangkan mereka juga adalah pesara kerajaan?,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan diminta tidak mengambil mudah tentang perkara ini.
“Ia kerana pesara sudah lalui bermacam macam dugaan dan kesusahan ketika berkhidmat dahulu, dan itu juga akan berlaku kepada penjawat awam di alam persaraan nanti.
“Justeru, saya ingin memohon pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar tidak menyusahkan persara terutamanya warga emas.
“Sebelum ini mereka boleh ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk membuat pemeriksaan jantung, tetapi sekarang kena ikut giliran dari hospital biasa sebelum dirujuk ke IJN, baru boleh buat rujukan kepada IJN malah pesara pesara yang sedang menerima rujukan rawatan susulan di IJN pun dah ditamatkan rujukan IJN.
“Ini bermakna kemudahan kepada pesara mula hilang sedikit demi sedikit, seolah-olah jasa mereka sudah tidak diingati,” katanya.
Oleh hal demikian, beliau berkata, dalam Mesyuarat Ahli Majlis Jawatankuasa Kerja Tertinggi (AMJKT) Kupekmas yang pertama, pihaknya mengambil keputusan untuk menyuarakan masalah ini secara berhemah agar suara pesara dapat didengar oleh kerajaan terutama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Malaysiapost

