Kebakaran tapak pelupusan sampah, 400 penduduk diarah pindah

0
2

SERAMAI 400 individu daripada 86 ahli keluarga membabitkan penduduk Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru di Pulau Pinang diarah berpindah kerana berdepan masalah pencemaran udara.

Ia susulan kebakaran tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal sejak Rabu lalu masih belum berjaya dipadamkan.

Berikutan itu, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh berkata, tindakan itu dibuat selepas lawatan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ke tapak berkenaan hari ini.

“Pemindahan sementara membabitkan kira-kira 400 orang daripada 86 keluarga ke kawasan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan berkata, stesen pengawasan kualiti mudah alih Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang ditempatkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Byram mendapati terdapat kandungan gas yang boleh memberi risiko kesihatan.

“Justeru, penduduk yang tinggal di lokaliti Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru dinasihatkan untuk berpindah ke dua PPS buat sementara waktu,” katanya.

Terdahulu, kebakaran tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.2 hektar itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 4.40 petang Rabu lalu membabitkan kawasan terbakar seluas 6.5 hektar.

Tindakan awal sudah diambil oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dengan membuat ‘fire break’ bagi mengelak api terus merebak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here