SEJUMLAH 85,134 tan sisa banjir berjaya dibersihkan di enam negeri iaitu Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Selangor, setakat semalam.
Menurut Unit Komunikasi Korporat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerja pembersihan di keenam negeri itu melibatkan 1,037 jentera.
Justeru, katanya, pecahan sisa banjir yang telah dibersihkan melibatkan Selangor iaitu sebanyak 48,589 tan sisa banjir, Pahang (34,100 tan sisa banjir), dan Negeri Sembilan (1,400 tan sisa banjir).

“Manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (630 tan sisa banjir), Johor (275.63 tan sisa banjir) dan Melaka (139.00 tan sisa banjir),” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, menurut KPKT, sehingga semalam, sebanyak 98.17 peratus selesai pembersihan sisa tersebut.
“Bagi jumlah sisa banjir yang dibersihkan pula adalah sebanyak 438 tan dengan penggunaan 112 jentera dan 354 pekerja,” katanya
Menurut kenyataan itu, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) komited melaksanakan operasi kerja-kerja pembersihan pasca banjir di seluruh kawasan yang terjejas banjir tersebut tanpa mengira sempadan perkhidmatan syarikat itu.
“Ia hasrat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, iaitu ‘di mana ada keresahan rakyat, KPKT datang merawatnya’,” katanya. – Malaysiapost

