PRN Sabah: Shafie akan panggil Mohamaddin

0
3

PRESIDEN Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan memanggil Datuk Mohamaddin Ketapi susulan kenyataannya yang mendakwa insiden di Tanduo, Lahad Datu adalah peperangan pasukan keselamatan dengan ‘ayam’ dan ‘anjing’.

Ketua Menteri Sabah itu berkata, Mohamaddin sudah membuat kenyataan maaf secara terbuka mengenai perkara itu.

“Saya sudah minta maaf dan saya akan panggil dia apa sebab dia nyatakan (dakwaan itu),” katanya kepada pemberita selepas majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Sim-Sim di Sandakan, hari ini.

Ditanya adakah kenyataan Mohamaddin itu akan menjejaskan kempen, Mohd Shafie berkata, WARISAN akan meneruskan perjuangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Hari ini, video mengenai ucapan Mohamaddin yang juga calon DUN Segama yang mendakwa insiden itu hanya sandiwara sambil menyatakan insiden itu adalah peperangan dengan ‘ayam’ dan ‘anjing’ tular.

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu kemudian membuat kenyataan maaf secara terbuka selepas menerima kecaman ramai pihak.

Beliau berkata, dia tidak berniat menghina anggota keselamatan, sebaliknya merujuk kepada Barisan Nasional (BN) yang sepatutnya menyelesaikan isu tuntutan Filipina ke atas Sabah secara mutlak. -MalaysiaPost