SEORANG lelaki cedera ditembak individu tidak dikenali di luar rumahnya dalam kejadian di Bandar Kinrara, dekat Serdang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 12.45 tengah hari.
Katanya, mangsa berusia 35 tahun itu dihantar ke hospital untuk rawatan.
“Siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan di rusuk kiri dipercayai akibat ditembak menggunakan pistol. Mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan.
“Pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor ke lokasi kejadian untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, polis kini melancarkan operasi bagi mengenal pasti suspek terbabit dan menjalankan siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.-MalaysiaPost

